Usahawan Bumiputera digalakkan membudayakan konsep jaringan perniagaan menerusi Bizcom. Ia adalah landasan jaringan perniagaan yang bebas bagi membolehkan usahawan cepat menyesuaikan diri dengan perubahan pasaran dunia perniagaan.
Dato' Seri Mohamed Khaled Nordin dalam ucapannya semasa Karnival Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD) mengatakan bahawa kerajaan berharap MPUD dapat menyelaras, memantau dan melaksanakan program pembangunan usahawan di peringkat daerah.
Katanya, kerajaan akan memberikan sokongan kewangan agar MARA dapat membangunkan kiosk Bizcom di semua daerah, bermula di kawasan yang mempunyai MPUD. Bagi fasa pertama pelaksanaan, 36 MPUD dikenalpasti untuk dilaksanakan dengan kiosk Bizcom dengan kos pembangunan prasarana ditanggung MARA, manakala pengendalian operasi diberikan kepada usahawan terpilih. Sekitar RM100,000 hingga RM150,000 kos yang diperlukan untuk membangunkan sebuah kiosk.
Pengusaha Bizcom terdiri daripada mereka yang berpengetahuan luas dan mampu menyediakan khidmat kaunseling dalam bidang perakaunan, pemasaran, promosi, internet, platform interaktif serta proses dan pengurusan perniagaan. Katanya, kementerian juga turut mensasarkan 120,000 usahawan Bumiputera akan menyertai Bizcom dan daripada jumlah itu sebahagiannya adalah usahawan di bawah naungan MARA.
Kiosk Bizcom yang pertama di Medan MARA itu dibangunkan dengan kerjasama Bizcom Interactive Sdn. Bhd., sebuah syarikat pembekal teknologi perniagaan interaktif tempatan.
(Dipetik dari angkasa.coop)
|