[25/07/2008 1:08 am]
BizCom satukan usahawan bumiputera seluruh Malaysia
KUALA LUMPUR (Sumber: UMOnline 3 Mac) – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi akan mewujudkan sebanyak 111 kios BizCom (business community) di seluruh negara bagi membantu golongan usahawan bumiputera berinteraksi dengan lebih berkesan menerusi multimedia. Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, BizCom akan mewujudkan satu komuniti usahawan bumiputera tanpa mengikut sektor dan struktur persatuan yang memerlukan pelantikan ketua dan jawatankuasa.

‘‘Penubuhan BizCom ini dilakukan setelah kementerian melihat ada sesetengah usahawan mempunyai persatuan tetapi dalam sektor-sektor tertentu, mereka bergerak sendirian.

‘‘Keadaan ini menyukarkan usahawan terlibat untuk mengetahui maklumat dan bantuan perniagaan yang ditawarkan, sekali gus terpinggir daripada arus perkembangan teknologi semasa,’’ katanya selepas merasmikan kios BizCom Medan Mara di sini hari ini.

Menurutnya, pada peringkat awal, Majlis Amanah Rakyat (Mara) dipertanggungjawabkan membina 111 kios BizCom itu, setiap satu bernilai RM100,000 di semua pusat Majlis Pembangunan Usahawan Daerah (MPUD) seluruh negara.

‘‘Dengan hanya membayar yuran RM60 setahun, usahawan boleh mendapatkan perkhidmatan dan bantuan yang diperlukan selain mengetahui maklumat mengenai program-program yang disediakan kerajaan.

‘‘Di kios BizCom ini juga, usahawan boleh berbincang, mendapat nasihat dan diperkenalkan kepada perisian perniagaan,’’ katanya.

Katanya, buat permulaan ini, Mara akan menanggung 50 peratus yuran pendaftaran tahun pertama bagi usahawan-usahawan yang menyertai BizCom.

Katanya, menerusi BizCom, seramai 40,000 usahawan di bawah naungan Mara dan sekitar 120,000 usahawan bumiputera yang lain dapat menggunakan segala kemudahan yang disediakan termasuk mencari rakan kongsi dan jaringan perniagaan dengan lebih berkesan.

‘‘Kita mahu wujudkan budaya komuniti usahawan bumiputera yang sentiasa mengikuti perkembangan semasa dan menggunakan maklumat yang diperlukan untuk menghadapi era globalisasi,’’ jelasnya.

Sementara itu, beliau berkata, kios BizCom di seluruh negara akan dikendalikan oleh usahawan yang mempunyai latar belakang IT dan pembukaannya akan membuka peluang pekerjaan kepada lebih ramai graduan.

Comments

Post a comment
Name:


Email:


Title:


Comments:

Code: